Penderitaan dan kesengsaraan umat di Gaza tidak dapat dibayar dengan airmata dan kata-kata. Rindu dan kasih mereka terbelah. Cinta dan sayang terpisah. Berkurun lamanya mereka- generasi ke generasi- menyaksikan dendam yang tidak sudah. Sejarah palestine tertulis dengan merah darah dalam nota penyaksian yang teramat panjang. Apabila manusia hilang kemanusiaannya, apakah gelaran yang layak untuknya? Apabila insan lebur keinsanannya, apakah makna seketul daging dalam dirinya, apakah erti akal untuknya? Apabila sifat-sifat tertinggi dalam diri insan ghaib bersama debu, maka yang tinggal hanyalah sifat 'keakuan' dan keangkuhan.
Ketika membaca buku Burned Alive, kisah perempuan palestine dibakar hidup-hidup oleh anggota keluarganya sendiri dan diselamatkan oleh keinsanan seorang sukarelawati barat, ada beberapa lintasan dalam fikiran saya. (hei, hei, saya masih sempat membaca meskipun bermain aising setiap hari.) Buku ini juga merakamkan bagaimana perempuan-perempuan di wilayah ini sering diperhambakan lelaki, bekerja kuat hingga tidak punya rehat. Perempuan yang merakamkan kisah ini juga memberitahu tentang adik perempuannya yang dibunuh hanya dengan cerutan wayar telefon semata-mata kerana berbual-bual dengan teman lelakinya melalui telefon. Banyak rentetan kekejaman yang berlaku dalam keluarga dan masyarakat sekitarnya didedahkan sehinggalah apabila dia diselamatkan oleh sukarelawati barat dalam keadaan nyawa-nyawa ikan kerana dibiarkan pihak hospital, membina kehidupan di barat, beliau menyifatkan memang wajar wilayah itu menerima kekejaman zaman berzaman kerana budaya hidupnya yang memperalat dan memperhambakan perempuan. Tiada maaf jika perempuan melakukan kesalahan. Hukuman yang wajar hanyalah - hapuskan. Banyak yang saya fikir ketika membaca buku Burned Alive, tulisan perempuan yang menukar namanya kepada SOUAD ini yang mengakuinya sebagai kisah benar. Apakah ia benar-benar kenyataan budaya masyarakat di wilayah itu atau satu niat berlapis pihak-pihak tertentu untuk menutup kekejaman Israel terhadap umat di wilayah itu?
Kemudian saya membaca buku rakaman perjalanan dan perjuangan Dr Ang di Palestin, seorang sukarelawati anak Pulau Pinang yang menjadi warga Singapura. Dr Ang pada mulanya memandang umat Palestine sebagai 'tidak baik'. tetapi segalanya berubah apabila Dr Ang bertahun-tahun mengabdikan dirinya untuk rakyat Palestine, menyaksikan mayat yang bergelimpangan, umat yang disembelih sebaik saja kakinya diheret keluar dari hospital tempat dia memupuk tambah ketabahan dan keinsanan. Dr Ang- saya merenung gambarnya berkali-kali- sungguhpun fizikalnya kecil, tetapi semangat dan kekuatannya cukup besar. Tidak mampu saya tandingi. Ketika menulis ini, saya di bengkel dan bukun tulisan Dr Ang ini berada di rak buku di rumah. Saya lupa judul sebenarnya.
Menyahut seruan beberapa teman yang memaklumkan bahawa fotopages adalah kepunyaan Israel, maka saya akan mengaktifkan rumah blogspot yang selama ini jarang saya usik. Berbanding blogspot, saya mendapat ramai teman di fotopages. Saya di antara ramai rakyat malaysia yang menggunakan generatornya.
Berpindah ke rumah baru memanglah sulit. Banyak peralatan dari rumah lama hendak dibawa masuk ke rumah baru. Pindah juga tidak sempat mewar-warkan kepada semua teman. Saya akan mengusahakan perpindahan peralatan dan kelengkapan sama ada yang
cantik mahupun dhaif ke rumah blogspot ini. Sungguh ia bukan kerja mudah, mengambil masa yang panjang. Tentu saja jeran untuk menghadapi kekangan waktu tetapi insyaAllah, saya akan melakukannya bila punya waktu terluang.
Subuh sunyi ini hati saya diasak pilu bertalu-talu. Doa putih saya memanjat tangga langit. Saya tidak punya keupayaan dan kekuatan untuk berada di Palestin, membantu kesengsaraan di sana. Ketika sahabat saya penyairShamsudin Othman menghantar sms minta siapkan puisi untuk antologi kemanusiaan Gaza, saya tidak dapat memenuhinya. Terima sms malam itu, malam itu juga perlu diemelkan. Saya tidak dapat menulis puisi dalam masa beberapa jam. Menulis pada saya bukanlah kerja tergesa-gesa. Saya perlu duduk dan mengabaikan kerja-kerja lain sedangkan tempahan berderet perlu disiapkan. Malam ini juga ada permintaan deklamasi puisi kemanusian di Pekan. Saya tidak dapat berjanji untuk hadir. Hari ini ada kelas. Tanggungjawab memantau pelajar adalah besar bagi saya. Saya bukan seorang pakar, bukan profesional hingga dapat memastikan kelas saya berakhir cepat. Kelas saya tidak akan selesai selagi saya rasa pelajar tidak dapat menangkap skill yang saya ajar. Sungguhpun kedudukan kelas saya jauh di puncak bandar Diraja Pekan, tetapi tanggungjawab saya amat dekat. Oleh kerana saya sukar membantu memlalui penulisan dan deklamasi puisi ( dunia saya sekarang jauh berubah), saya terpanggil untuk melakukan seperti Ina Whiz lakukan demi kemanusiaan di Gaza.
'Saya menarik 5% daripada pendapatan saya melalui kelas dan tempahan kek khas, untuk mengisi tabung kemanusiaan Gaza. Marilah anda bersama-sama saya, berbakti meningkatkan nilai keinsanan agar kita tetap menjadi insan.'
** Di bawah ini, adalah rakaman hasil kerja Hasliza (adik Yati Yadami), Yin (
http://madamecupcakes.blogspot.com/) dan Siti. Yin dan Siti pernah menghadiri kelas saya sebelum ini. Terima kasih untuk anda bertiga kerana turut sama membantu saya membantu umat di Gaza.
*** Terima kasih juga kepada anda yang mendaftar kehadiran untuk kelas-kelas berikut. Mendaftar kehadiran bererti anda juga telah mendaftar untuk turut bersama saya membantu Gaza.
24 jan - kelas intensif cupcake (terimakasih untuk Ina dari Kuantan)
25 Jan- kelas cartoon artwork & 3D
26 Jan - kelas basketweave & specility
27 Jan - kelas intensif cupcake (full)
31 Jan - kelas fantastic jelly
1 jan - kelas intensif cupcake
untuk lain-lain tarikh dan pakej, sila buat tempahan. Jangan berlengah. Tempat terhad.