4.30.2009

TEMPAHAN INA SALY

Salam, teman-teman.
Suatu hari, Ina Saly yang terlebih sibuk itu memberi sedikit kesibukannya untuk saya. Dia meminta saya buatkan kek untuk majlis perkahwinan adik iparnya. Tema putih merah.
Warna merah adalah warna yang buat saya sakit kepala kerana sukarnya untuk dapatkan warna merah. Apatah lagi saya terlupa membancuh warna merah awal tiga empat hari. Saya hanya membancuhnya msehari sebelum kerja mendeko. Bismilla berkebuk-kebuk. Tawakal kejap dalam diri. alhamdulillah, saya tidak menjangka kerja saya menjadi mudah kali ini. Dengan menuangkan pewarna baru yang dicadangkan oleh Melissa, tauke bakery mart Bake Well Kuantan, saya mendapat warna merah menyala yang saya idam-idamkan. Siapa sokong saya warna merah ini cukup menyala, sila angkat tangan. hehehe.
Kek ini designnya mudah saja. Di bahagian tepinya, saya aisingkan bentuk bead menjadi bentuk intan. Begitru juga pada bordernya. Kemudian saya susun kuntuman bunga buttercream, tentu saja dari tangan saya sendiri.
Kek ini buat saya tidak tidur malam kerana saya teringat saya terlupa mengambil gambarnya. Gambar-gambar yang ada ini adalah sumbangan Ina Saly. Terima kasih Ina.

Gembira dengan hasil ikek ni, saya memborong setiap warna yang ada dengan jenama "americolor" itu. Dua botol dijual dengan harga RM9.80. Manakala warna-warna yang ada perkataan elektrik di depannya dijual dengan harga Rm6.00 sebotol. Pewarna ini laris macam goreng pisang panas.

Saya terlihat warna ini dijual di Yummy. Bagi orang-orang Kuantan yang ingin mendapatkan pewarna ini, boleh dapatkan di Kedai Bake Well, bersebelahan dengan Cosmo Point. Beli, jangan tak beli. pasti akan puas hati. Pertama kerana warnanya cantik. Kedua kerana rasanya tidak pahit. Wei, Melissa, nak upah apa ni? I dah promo bake well ni... hehehe

Jom jamu mata...










4.29.2009

Kek Kahwin Faizatul Syuhada







PENGUMUMAN:*** kepada seorang pelanggan saya (perempuan) , orang Pekan yang tinggal di JB, yang telah membuat tempahan kek hantaran untuk bulan mei atau jun, sila hubungi saya semula kerana saya kehilangan maklumat tempahan anda. Berbanyak maaf dan terima kasih.*** UNTUK MENGETAHUI JADUAL KELAS BAGI APRIL DAN MEI, SILA KLIK DI SINI. TERIMA KASIH

__________________________________________

Salam, teman-teman.Kepada teman-teman yang terlibat dengan deco cupcake WI di Kompleks Dagangan Mahkota di Indera Mahkota Kuantan untuk Malaysia Book Record, sila hadir pada 1 Mei jam 10 pagi atau lebih awal dari itu. Sesiapa yang berkelapangan untuk datang mendeko pada 30 April, harap datang jam 8 pagi. (Tapi rata-rata yang daftar dalam grup saya bekerja ye. Tak amengapa, kita jumpa 1 mei. gegarkan kompleks dagangan mahkota)

_______________________________________________


Ini adalah tempahan daripada Faizatul Syuhada. Tempahan online. Faizatul orang Pekan, kahwin pun di Pekan. Selain daripada kek ini, Faizatul juga menempah 1 kotak swirl cupcake macam aiskrim Mcd.

Warna tema maroon dan krim. Warna maroon adalah warna yang sukar dihasilkan. Perlu dibancuh awal tiga empat hari, dengan gabungan burgundy dan merah. Selalunya untuk menghasilkan warna yang pekat seperti merah, maroon, hitam dan biru gelap, kita memerlukan kuantiti pewarna yang banyak dan dibancuh awal. Kita lihat banyak cupcake yang menggunakan warna yang terang/pekat. Penggunaan warna yang banyak ini hanya cantik di mata dan belum tentu sedap untuk dilahap. Ini kerana penggunaan warna yang banyak akan mengubah rasa buttercream menjadi sedikit pahit atau mungkin juga pahit betul! Barangkali kerana faktor itulah, wilton mengeluarkan pewarna 'no-taste red'. Dua minggu lepas, saya bertemu dengan pewarna yang menyenangkan kerana ia tidak pahit meskipun diletak dalam kuantiti yang banyak untuk menghasilkan warna merah. Nak tahu jenama apa? Tunggu entry akan datang!


Yuk, jamu mata dengan kek perkahwinan Faizatul Syuhada. Seadanya saja kerana pada hari mendeko itu banyak sungguh hal yang menguji.


Faizatul Syuhada emailkan gambar dan testimoni untuk chocolate moist dua tingkat ini. Chocolate moist Zati Dhati memang tidak akan menghampakan pelanggan. Moist, manis lemak dan rasa coklatnya berbaur. Tunggu, sikit waktu lagi akan ada khidmat pos untuk mereka yang teringin nak rasa. Nanti akan saya umumkan.


Testimoninya - kak, sorry lambat email gambar, baru masuk pejabat. Very nice cake. Rasanya pun memang sedap. Nanti nak order lagi, boleh ek


4.28.2009

kelas cupcake selepas pantang


PENGUMUMAN:*** kepada seorang pelanggan saya (perempuan) , orang Pekan yang tinggal di JB, yang telah membuat tempahan kek hantaran untuk bulan mei atau jun, sila hubungi saya semula kerana saya kehilangan maklumat tempahan anda. Berbanyak maaf dan terima kasih.*** UNTUK MENGETAHUI JADUAL KELAS BAGI APRIL DAN MEI, SILA KLIK DI SINI. TERIMA KASIH

________________________________________________

Salam, teman-teman.
Kepada teman-teman yang terlibat dengan deco cupcake WMI di Kompleks Dagangan Mahkota di Indera Mahkota Kuantan untuk Malaysia Book Record, sila hadir pada 1 Mei jam 10 pagi atau lebih awal dari itu. Sesiapa yang berkelapangan untuk datang mendeko pada 30 April, harap datang jam 8 pagi. (Tapi rata-rata yang daftar dalam grup saya bekerja ye. Tak amengapa, kita jumpa 1 mei. gegarkan kompleks dagangan mahkota)
______________________________________________

entry kali ini tentang kelas pertama selepas tamat tempoh berpantang melahirkan Nur Iman. Ada di antara mereka berempat ini yang dah booking kelas awal lagi sebelum saya bersalin.
Keempat-empat mereka ini berterus terang tidak ada pengalaman dalam dekorasi kek. Mereka - Ros yang datang bersama Nurul dari Kuantan, Wanda dari Chini, Linda dari Kemaman, cukup mesra seolah-olah mereka pernah bertemu sebelum ini.
Saya mulakan mengajar mereka menimbang, mengadun, memasak cupcake dengan betul. Kemudian menguli sugar paste, membuat bunga, scroll dan sebagainya, membancuh royal aising mengikut yang termuat di dalam modul saya. setelah siap 6 biji fondant cupcake, barulah membancuh buttercream. Saya ajar bagaimana untuk membuat buttercream yang konsisten untuk tujuan penghantaran jauh, juga saya ajar bagaiaman membuat buttercream yang sederhana konsistensinya. Mereka mendeko 25 biji cupcake dengan 25 skill ilmu.
Banyak hal yang melucukan dalam kelas ini. Biarlah jadi kenangan saya bersama mereka.
Antaranya:
"Spa apa ni? Spa apa ni?" tanya salah seorang dari mereka.
"Spatula. Bukan spa q." jawab saya, tersenyum memandang spatula di tangan mereka.
Tawa pun berderai. Selepas itu, mereka lebih senang menggunakan perkataan spa q menggantikan spatula.
Makan tengahari - hubby tak memasak seperti kelas-kelas sebelum ini kerana memberi perhatian kepada Nur Iman.
"Ingatkan boleh makan masakan Cikgu Azlee." Itu antara rungutan yang terdengar.
walaupun kelas ini adalah kelas cupcake, saya memberi mereka membuat gerak mesra di atas papan terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke atas cupcake.
Semangat mereka berempat ini. Senang hati saya. Ada yang mulanya teringin nak kirim noozel wilton jika saya ke kl. Tapi disebabkan semangat yang berkobar-kobar, mereka meredah kedai bakery di bandar kuantan, mencari noozel cap ayam. Hehehe Cap ayam pun tak mengapa. Janji rajin praktis. Saya pun bermula dengan noozel cap ayam. sekarang pun masih ada banyak noozel cap ayam...hehehe
Saya terlupa zoom hasil pelajar seperti biasa. Mak aii, dekat 50 hari bercuti mengajar, boleh jadi lupa pada rutin ambil gambar. Kepada student berempat ni, saya doakan selamat maju jaya. Tengok mereka berempat ni...ceria saja. Bermula dengan langkah pertama, belajarlah mengorak langkah seterusnya.

4.26.2009

Dari Pekan ke Mentakab

PENGUMUMAN:*** kepada seorang pelanggan saya (perempuan) , orang Pekan yang tinggal di JB, yang telah membuat tempahan kek hantaran untuk bulan mei atau jun, sila hubungi saya semula kerana saya kehilangan maklumat tempahan anda. Berbanyak maaf dan terima kasih
.*** UNTUK MENGETAHUI JADUAL KELAS BAGI APRIL DAN MEI, SILA KLIK DI SINI. TERIMA KASIH



Gambar atas: :Layla dengan kek yang telah digubah bunga oleh Layla sendiri.




Bermula kisahnya, saya dan Layla pernah berborak di YM. Saya panggil dia 'cute girl' kerana foto di YMnya memang nampak cute dan manis.

Suatu hari, dia pernah bertanyakan harga kek yang perlu dihantar ke Mentakab. Mak aiii, jauh tu. Saya cadangkan kek dari tangan Kamalina dan Rikha. Saya fikir hal itu akan diselesaikan Kamalina atau Rikha tetapi kemudian dia ym lagi minta saya terima tempahannya. Katanya Kamalina ada kerja pada tarikh tersebut.
Saya tidak menyediakan penghantaran ke Mentakab. (Cerita fasal penghantaran, saya memang tidak larat nak hantar jauh. Kalau penghantaran ke Kuantan misalnya, ada pelanggan yang merungut kami kenakan caj RM25 tetapi RM25 itu sebenarnya tidak berbaloi kerana ia hanya bayaran untuk minyak saja, tidak mampu menutup kepenatan dan masa pergi balik.)
Bincang punya bincang, Layla kata dia tidak kisah fasal harga cuma dia tidak pasti apakah teman lelakinya di Rompin boleh singgah di Pekan untuk mengambil kek membawanya ke Mentakab. Hal ini tersangkut begitu saja.
Kemudian Kak Miss sms bertanyakan tentang Layla Mentakab. Aku kira tentu Layla tidak jadi tempah kek kerana dia telag hubungi Kak Miss. Layla sms pula - tak jadi nak tempah kek sebabnya tak ada sapa nak pick up. Pak we saya nak datang awal bawak mak dia. Kata Layla lagi, dia akan tempah dengan Kak Miss, kakaknya akan ambil kek di KL.
Saya fikir hal itu selesai. Iyalah, Mentakab-KLlebih dekat berbanding Pekan-Mentakab.
Dua tiga hari kemudian, Layla sms pula - jadi nak tempah kek. Boyfriend saya akan ambil di Pekan.
Lorrr... apa cerita pula si Layla ni? agaknya tak ada orang yang boleh ambil kek di rumah Kak Mis. Mulanya saya hendak menolak kerana jadual sudah padat - kelas, kek perkahwinan tempahan Ina saly, kek anniversary, chocolate moist. Tapi kesian pula mengenangkan si Layla ni ribut call sana sini untuk mengindahkan majlis perkahwinan kakaknya.
Layla memberi saya contoh design daripada fp/blog Kak Miss. Kek dengan gubahan bunga segar dan di bahagian tepinya, dilarik dengan 'spiral'
Tanya saya, "boleh tak akak tak ikut design tu? Akak nak buat design sendiri."
Boleh, kata Layla, asalkan simple.
Kek adalah medan eksperimen. Kalau boleh, saya mahu apa yang ada di dalam fikiran saya berpindah ke atas kek (dengan izin pelanggan.)
Saya membuat design mudah di bahagian tepi. Renda di bahagian bawah. Saya pacak tiang pada kek supaya Layla tidak terkial-kial memacaknya sendiri. Hubby menebuk kotak. Kami bekerjasama memasang plastik wrappers pada kotak supaya ia selamat daripada habuk dan semut. Kuntuman rose pada kek, Layla yang gubah. pada hari perkahwinan. Kakak Layla bertemu jodoh dengan warga Pakistan dan akan mengikut suaminya bnertugas di luar negara. Di mana ya? Saya lupa pula. Australia kot?
Ada yang tanya berapa RM harga kek ini? Untuk pengetahuan, harga kek beregantung kepada jenis dan saiz kek juga design. Saiz kek tempahan Layla - 14,11,8 inci. Bawahnya- grooming product saya - choc moist. Tengah blueberi, atas pandan. Harganya jika dihias penuh dengan bunga segar atau bunga buttercream RM550. Untuk kek Layla ini, saya ambil RM400 kerana tidak ada bunga dari tangan saya.
Testimoni:
salam kak zaty...tq for the very delicious cake! semua orang puji sedap! terutama moist choc cake! berebut-rebut dengan tetamu yang nak rasa cake..memang cake kak zaty paling tip top lah! hehe...next order coming soon..12th april tu saya start letak bunga atas cake dalam pukul 9.30 am..mula2 mg tak tahu macam mana nak letak sebab ni lah kali pertama saya buat pastu rasa mcm syok pulak buat sebab cake nampak naik bila letak roses merah..semua orang puji cantik mungkin sebab warna yang kontra membuatkan cake nampak cantik dan yang paling best semua mak sedara saya ingat tu cake fondant! bila cake dah dipotong baru semua tahu yang sebenarnya itu cake aising..apa2 pun cake memang sedap dan corak yang kak zaty buat pun just simple and i like it! oops,here the attachment..jgn lupa letak dalam blog akak,kalau akak ada masa jengah2 lah blog saya pulak http://sweetiepie87.blogspot.com/..tq so much kak..

4.21.2009

ULANGTAHUN ANAK-ANAKKU ( slot 2)

PENGUMUMAN:*** kepada seorang pelanggan saya (perempuan) , orang Pekan yang tinggal di JB, yang telah membuat tempahan kek hantaran untuk bulan mei atau jun, sila hubungi saya semula kerana saya kehilangan maklumat tempahan anda. Berbanyak maaf dan terima kasih.*** UNTUK MENGETAHUI JADUAL KELAS BAGI APRIL DAN MEI, SILA KLIK DI SINI. TERIMA KASIH


Salam, teman-teman.
Harijadi Amsyar pada 22 Februari dan harijadi SF Azzahra pada 17 ma rch tidak dapat diraikan besar-besaran kerana aku masih berpantang ketika itu. Mengenangkan Amsyar akan pulang ke asrama sebelum aku habis berpantang, maka aku dan hubby sepakat membuatnya secara kecil-kecilan saja. Hanya limabelas teman Amsyar dan limabelas teman Azzahra diundang. Hubby masak mi goreng (yang sangat sedap kata adikku & yang lain-lain). Hubby juga goreng nugget, keropok lekor, keropok sayur. Mak pula sponsor karipap dan pizza. Aku? Aku buat kek stack, kek comel, fancy cookies bentuk hati dan bibir. Konon hendak buat kek edible image dengan gambar Azzahra yang dihadiahkan Ct Penang tetapi dah tak punya masa.
Tidak dapat aku memilih hadiah untuk Azzahra kali ini kerana masih berpantang. Taqiuddin, Amsyar dan Alim berkongsi duit beli jam yang cantik. Aku melayari internet. Memandangkan Azzahra pernah memuji tudung-tudung di http://60inchshejab.blogspot.com , aku memutuskan untuk menghadiahkan tudung untuknya. Aku sangat bernasib baik kerana yun tauke 60inchshejab dapat mengepos awal tudung itu meskipun lari dari jadual kebiasaannya mengepos pesanan pelanggan. Aku juga meminta yun membuat khidmat tambahan - mencari kad ucapan dan menulis sebaris ayatku di situ. Azzahra tersenyum simpul mendapat dua helai tudung yang lembut dan cantik. Lihat... Azzahra memakai salah satu daripada tudung yang dijual Yun. Terimakasih, Yun kerana menyempurnakan hajat saya.

Foto di bawah diambil sebelum kawan-kawan Amsyar datang. Kesian pula pada teman-teman Azzahra lama menunggu.


Amsyar & SF Azzahra. Tengok, cangtik tudung Azzahra tu. Sesiapa berminat, layarilah blog Yun dan buat pesanana.

Kek yang simple saja...


Kek comel pun simple saja...






Semoga anak-anakku menjadi insan berguna di dunia dan akhirat. Amin.

4.20.2009

ULANGTAHUN ANAK-ANAKKU ( slot 1)

PENGUMUMAN:
*** kepada seorang pelanggan saya (perempuan) , orang Pekan yang tinggal di JB, yang telah membuat tempahan kek hantaran untuk bulan mei atau jun, sila hubungi saya semula kerana saya kehilangan maklumat tempahan anda. Berbanyak maaf dan terima kasih.
*** UNTUK MENGETAHUI JADUAL KELAS BAGI APRIL DAN MEI, SILA KLIK DI SINI. TERIMA KASIH

________________________

Salam, teman-teman.
Gambar-gambar di dalam entry ini adalah gambar pada hujung disember lalu. Majlis harijadi Taqiuddin disekalikan dengan Qayyum serta sepupunya Haikal dan Angah. Selain kek & fantastic jelly, juadah adalah laksa, pulut kuning, nasi dagang, rendang, kuih koci dan tepung pelita. Meh tengok gambar yang buat kelabu mata nih...

Atas : Taqiuddin memasang lilin bunga api.



Bawah : Adikku, Ani sibuk mengambil gambar kek
harijadi anaknya - haikal dan Angah. Azzahra pun sibuk melayan.
Bawah : Anak sulungku, Qayyum memotong kek ragbi. Inilah kehendakku yang terbengkalai pada awal januari 2008 yang tidak tertunai pada hari lahirnya. Kutunaikan pada hujung disember.











Ini kek ragbi Qayyum


Ini kek harijadi Haikal & Angah





Ini pula kek edible image untuk raikan taqiuddin. Macam orang nyanyuk buat kerja . Terlupa edible tidak boleh ditampalkan pada whipping cream. Naik cacat muka Taqiuddin . Terjerit Taqiuddin melihat mukanya bengkak .Edible image ini hadiah daripada bekas pelajarku - Ct. Orang di utara yang berminat, boleh membuat tempahan melalui Ct di talian 012-4640714. Terima kasih Ct






4.16.2009

kek comel








PENGUMUMAN:
*** kepada seorang pelanggan saya (perempuan) , orang Pekan yang tinggal di JB, yang telah membuat tempahan kek hantaran untuk bulan mei atau jun, sila hubungi saya semula kerana saya kehilangan maklumat tempahan anda. Berbanyak maaf dan terima kasih.
*** UNTUK MENGETAHUI JADUAL KELAS BAGI APRIL DAN MEI, SILA KLIK DI SINI. TERIMA KASIH

_____________________________________________________

Tiba-tiba saja aku rasa Pekan dapat demam cupcake. Rani yang tinggal kat Changlun dah lama dok menghias cupcake walaupun Changlun dalam kategori 'terperosok' jauh. Aku boleh hitung dengan jari berapa banyak order cupcake yang aku terima. Antara faktornya, harganya terlalu mahal untuk kek sekecil itu. Yalah, pelanggan melihat saiznya sebelum dideco. Aku sebagai pengeluar produk pula mengira kos, waktu dan kreativiti. " Dalam tempoh berpantang selepas menyudahkan kek yang kurahsiakan dekonya daripada pengetahuan mak bonda, masuklah 4, 5 tempahan cupcake untuk majlis harijadi dan hantaran. Gambar akan kumasukkan sedikit-sedikit.
Dua hiasan cupcake ini adalah tempahan daripada Kak Aishah untuk disedekahkan kepada budak-budak sekolah. Permintaannya - tema popeye dan bunga. Sekotak tema popeye untuk budak lelaki dan sekotak tema bunga untuk budak perempuan. . Maka aku pilih popeye, olive, bluto, spinach, lambang cinta, sauh dan satu lagi watak budak kecil tu (apa namanya). selebihnya aku buat huruf dengan piping jelly untuk cepat siapkan satu set. Apabila kutanya puteriku, Azzahra, apa warna latar untuk popeye- putih atau biru? Jawab Azzahra, " Hijau."

Dahiku berkerut, "kenapa hijau?"
"Spinich. Popeye makan spinich."
Menghargai pendapat azzahra dan sebagai mengakui logik pemilihan warnanya, aku mewarnakan hijau sebagai warna latar popeye, biru untuk bluto, merah jambu untuk olive, orange untuk warna latar tulisan sebagai penaik seri.
Cupcake dengan tema English Garden ini pula untuk budak-budak perempuan. ada yang kuletakkan sekuntum, ada dua dan ada tiga supaya nampak pelbagai.
Kak Aishah, terimakasih. semoga berkat hidup, murah rezeki. Aku dapat bayangkan bagaimana gembiranya budak-budak tu dapat kek comel dengan percuma. Ada sesiapa nak
menggembirakan hati orang lain dengan pemberian yang manis? Jangan segan-segan hubungi saya :-)

4.14.2009

TERBONGKAR RAHSIA DEKO TIKA PANTANG




UNTUK JADUAL KELAS APRIL & MEI, SILA KLIK DI SINI
Terimakasih.
__________________________________________________

Rutin jam biologiku tidak banyak memperuntukkan waktu untuk tidur. Rutin tubuhku pula tidak betah dengan duduk saja-saja, apatah lagi untuk tidur siang. Apabila tidur siang, bangun nanti badan terasa amat letih seolah-olah aku telah berjalan begitu jauh. Penat, lesu, tak bermaya.

Rutin biologi ini membuatkan aku tidak betah baring di dalam pantang. Siap bertungku, bertangas, berbarut, aku mula terasa bosan. Ingat pesan gemullah Tok Co, bidan kampung yang menyambut kelahiran anak-anakku - boleh nak buat kerja tapi kena pandai main nafas untuk jaga letak duduk batu merian, barut mesti kemas-kemas, diri mesti bersih dari nifas.

Pesanan yakni petua lama itu menjadi pegangan aku di dalam pantang. Tangan terasa rindu hendak mendekorasi kek. Kebetulan, ada tempahan masuk. Tempahan kek untuk harijadi isteri. Pada saat hati digamit rindu, tidak mampu kutolak peluang. Hubby cukup timbangrasa. Dia bakar kek dan bancuhkan buttercream. Siap letak semua bahan di atas meja dengan noozel, warna, filling dan spatula. Kemudian dia pergi kerja meninggalkan aku asyik mendeko kek pada saat Nur Iman memilih lena. Hubby meninggalkan sebaris pesan, "deko saja, jangan basuh bekas-bekas tu. Nanti hubby balik basuh." Wah! Syoknya dapat deko.

Sedang aku asyik mendeko, adikku datang. Bulat matanya tengok aku duduk mendeko. "Eh along, buat apa ni? Kalau mak tahu, siaplah mak buka kitab."

"Shhhh! Jangan beritahu mak. Dah rindu nak deko, dik."

Maka berjanjilah aku dengan hubby dan adik, tidak akan melaporkan kerja deko di dalam pantang ini kepada emak. Pada anak-anak, Azzahra dan Taqiuddin juga aku pesankan - rahsiakan dari mak tau.

Tak taulah, idea dalam pantang, aku hasilkan rekaan ini. Malas cairkan plat coklat, tulis terus atas kek dengan tulisanku yang memang tidak kusukai!!!

Malam, ketika mahu menghantar tempahan ini, hubby terserempak dengan emak betul-betul di muka pintu.

"Kek aising ke tu?" Pertanyaan emak hanya dijawab hubby dengan sepatah "hemmm."

Mak masuk ke rumah dengan pertanyaan bertubi-tubi, "kek gula ke tu? sapa buat? Awak buat? sapa buat kek? Sapa basuh bekas-bekas?"

Rahsia terbongkar juga. Aku akui semuanya. Kemudian aku bertanya, "tak salahkan? Bukan kerja berat. Duduk saja. Tak lama pun duduknya. Lagipun dah barut kemas-kemas."

"Boleh." Sepatah kata emak itu membuat aku gembira benar.

4.13.2009

Tempahan- 5% untuk Tabung Kemanusiaan GAZA

Untuk jadual kelas april & mei, sila KLIK DI SINI. Terima kasih

Kadang-kadang kita tidak suka pada sesuatu yang membataskan kegemaran atau rutin hidup kita tetapi pada satu tahap kita perlu redha menerima dugaanNya. Nur Iman menghadapi masalah seperti abang-abangnya pada waktu kecil dulu. Tidak dapat saya ceritakan di sini. Biarlah ia menjadi milik peribadi meskipun kadang-kadang saya ingin berkongsi rasa dengan orang lain. Masalah ini menyebabkan saya terpaksa membataskan banyak hal terutamanya kerja penulisan. tetapi alhamdulillah, meskipun begitu Nur Iman cukup bertimbangrasa ketika saya memantau kelas. Dia menjadi cukup `sporting' dan `supporting' . Alhamdulillah. Barangkali jiwanya bukan jiwa penulis. Kata mak bonda apabila saya memberitahu saya menulis dengan sebelah tangan sahaja atau menulis sambil mengenjut rocker dengan kaki - dia dah sebati dengan kek sebab tu dia tak mengganggu kerja kek.
Itulah Nur Iman sebenarnya. Saya boleh tinggalkan dia sendirian untuk kerja mendeko tetapi pada hari saya ingin menulis, dia renyah sepanjang hari. Saya akur pada kelaziman Nur Iman. Saya belajar memahami keadaan bahawa saya tidak punya orang gaji, bahawa suami saya terikat dengan jadual kerja di sekolah pagi dan petang (kenapa cikgu-cikgu sekolah jadi semakin sibuk berbanding cikgu pada zaman saya sekolah dulu. Saya melihat cikgu sekarang ditekan dengan pelbagai kerja, tambahan pula dengan kerenah birokrasi, kebajikan guru tidak terjaga. Orang atas mencari kesalahan-kesalahan orang bawah sehingga lupa pada kebaikan atau kejayaan yang pernah dibawa untuk sekolah/pelajar. Kalau boleh, nak ke tandas pun mesti beritahu orang atas. Yang pandai kipas, baru kerja pun boleh melompat DG. Yang jujur tak pandai kipas, kena akur saja pada nasib.) Begitulah...saya terpaksa akur menerima kenyataan suami tidak lagi dapat membantu saya menjaga anak seperti 10, 15 tahun dulu sehingga saya boleh hebat berkarya. Saya perlu akur bahawa anak-anak yang lain perlu ke sekolah, hadiri tusyen dan fardhu ain. Ini mengakrabkan lagi saya dengan Nur Iman. Suatu hari ketika ingin memantau kelas, saya menghantar Nur Iman ke rumah sebelah, rumah saudara saya dengan bekalan perahan susu. Tetapi saya terasa bengkel saya sunyi, kosong. Saya hiba dan sayu. Lantaran itulah untuk kelas terkemudian ini, Nur Iman bersama saya di bengkel, cukup bertimbangrasa dia. menangis hanya ketika perlukan susu. Sementelahan pula, mak bonda saya datang menemaninya. Terima kasih, mak.

Foto di bawah adalah foto kek yang menamatkan kempen tabung kemanusiaan GAZA. Tempahan daripada pekerja-pekerja Lembaga Muzium Negeri Pahang untuk bos mereka. Chocolate Indulgance untuk Encik Farid.
Jutaan terima kasih kepada semua pelajar dan pelanggan yang terlibat secara tidak langsung dengan kempen saya menderma untuk GAZA. Sumbangan anda telah saya salurkan ke Tabung kemanusiaan Gaza yang diusahakan oleh UMNO Pekan. Salam mesra.

4.08.2009

Tempahan- 5% untuk Tabung Kemanusiaan GAZA

Untuk jadual kelas april & mei, sila klik di sini. terimakasih.

________________________________________________________

Menyambung entry lalu, disiarkan foto-foto tempahan kek ketika saya sarat hamil menanti kelahiran Nur Iman. Hiasannya mudah saja kerana kelas penuh.


Ini kek poh untuk anak kepada teman lamaku, Fauziah. Fauziah ni bimbang benar aku bersalin sebelum harijadi anaknya. Dan di bawah ini pula, juga tempahan fauziah pada hari yang sama untuk anaknya. Kemudian dia sms, "wei, anak aku umur 12 , ngapa kau lukis gambar sponge bob. Malu dia nak potong kek tu." Maaf, Ji. Printer aku rosak. Tak boleh nak cetak gambar lain. sponge bob saja gambar yang ada.



Pooh kat bawah ni? Ini tempahan adik iparku, Rubiah untuk anaknya Shuhada.


Ini carfrot kek, tempahan orang Kampung Mengkasar kot? Mak aiii, saya lupa siapa yang tempah. Kepada tuan yang tempah kek ini, terimakasihlah kerana turut sama menyumbang melalui kempen saya.



Di bawah ini kek carrot juga. Sebenar ada coklat cair yang saya paipkan di atasnya tetapi gambar setelah siap itu lupa pula hendak diambil. terima kasih kepada Ila dari perak yang menempah untuk hari nulangtahun perkahwinan ayah bondanya yang ke 30. Semoga Ustaz Aziz dan Ustazah Jamhiah bahagia hingga ke hujung nyawa. Amin.



Kek ini saya sumbangkan untuk hantaran sepupu saya. 5% dari nilai rmnya, saya sumbangkan ke tabung GAZA.




Ini pula tempahan dari pada Arjue, pelanggan tetap yang banyak mendokong peningkatan Zatidhati. Seperti biasa Da anak Dato Dollah ni suka benar buat tempahan pada saat akhir.



Ini kek tempahan siapa ya? Mak ooi, sekali lagi saya lupa. Kepada tuan yang tempah kek ni, terimakasih kerana turut menyumbang ke tabung GAZA.


Ini pula tempahan tergesa-gesa daripada Cikgu Roslina untuk meraikan anak muridnya yang cemerlang PMR. Bagus betul cikgu. Terima kasih ya.



Ini pula tempahan daripada Salwa JPN Pahang. Salwa ni antara pelanggan tetap juga. Sayangnya kek-kek yang pernah ditempah Salwa tidak pernah termuat di dalam blog mahupun fp kerana tertunda-tunda. Kemudian pen drive yang ada banyak gambar pula hilang. sedihnya. Kepada Salwa, terimakasih kerana mempercayai dan menggemari hasil tangan akak.



Di bawah ini pula, tempahan Cikgu Nasirah untuk harilahir suaminya. Ini pun pelanggan tetap saya juga. Terimakasih.


Terimakasih, terimakasih, terimakasih.









ANTARA 3 DUNIA

Ada yang bertanya, akak ni penulis novel ke?
Saya tersenyum.
Saya menggunakan Zati D’hati dalam dunia hiasan kek. Berkat dorongan dan kasih suami tersayang, Mohd Azli Lee Abdullah @ Lee Cheong Beng serta doa kasih ayah bonda, saya mempunyai kekuatan yang cukup untuk menjana hidup cinta kasih saya – m. hafid, m. amsyar, a.’alim, siti Fatimah azzahra, a.taqiuddin dan nur iman. Saya sentiasa mencari dan menggilap kelebihan agar anak-anak dan orang-orang di sekeliling saya menyedari kehadiran ini. Saya mungkin tidak bernasib baik kerana tidak memiliki segulung ijazah tetapi saya mempunyai keyakinan, kekuatan, keupayaan, kepercayaan yang belum tentu dapat di sebuah university. Saya belajar dari warna dan alam, dari dugaan dan garis ketentuan Tuhan.
Dunia hiasan kek masih baru untuk saya jika hendak dibandingkan dengan dunia penulisan yang telah saya mesrai semenjak remaja. Saya bersyukur dengan kelebihan yang Allah anugerahkan sehingga saya boleh menjadi seorang penulis - novelis, cerpenis , penulis skrip drama dan penyair. Menghasilkan 9 buah novel – Keranamu Aku Menangis , Camar Terbang Senja , Siti Johanna , Bila Sena Kembali Berbunga, Bila Sena Kembali Berbunga 2, Hidayah Si Gadis Cilik, Kasih Sedingin Salju, Dulu Satu Kini Dua, Episod Cinta Di Tanah Hijrah. Pernah memenangi Hadiah Cerpen Utusan Melayu 1992, Hadiah Cerpen Perpaduan 1995, Hadiah Puisi Esso Gapena 1995, Hadiah Cerpen Utusan 2004, 2005, 2007. Hadiah Sastera Perdana 2003. Hadiah sayembara menulis novel sempena 50 tahun merdeka. Menerima Anugerah Karyawan Pahang 2004.
Keakraban saya dengan buku dan keindahan kalimat membuat saya senang dengan deklamasi puisi. Ia bukan sekadar saya tatap, malah saya jamah, telan dan kunyah sehingga sebati dalam diri. Saya sempat menggondil beberapa kejayaan dalam dunia deklamasi Naib Johan Sayembara Deklamasi Puisi Negeri Terengganu tahun 97 dan 98. Johan Negeri Terengganu 1999. Naib Johan Negeri Pahang 2000, 2001. Johan Negeri Pahang 2002, 2003. Naib Johan sayembara deklamasi puisi bahasa 2002. Johan Peringkat Kebangsaan 2003. Tempat ketiga sayembara deklamasi puisi Exxon mobil. Beberapa kali saya mewakili Malaysia sebagai deklamator ke Indonesia dan Thailand.
Atas kredibiliti yang saya ada, saya sering memenuhi undangan sebagai penceramah untuk bengkel penulisan novel, cerpen dan deklamasi puisi. Turut menerima undangan deklamasi dalam dan luar Negara.
Untuk khidmat sebagai pembimbing bengkel penulisan dan bengkel deklamasi, boleh hubungi amaruszati melalui zatidhati@gmail.com.
Ada yang bertanya, di antara hiasan kek, penulisan dan deklamasi, yang mana saya suka?
Jawapan saya, saya sukakan kesemuanya kerana itulah khidmat saya tersedia untuk ketiga-tiga cabang ini. Yang paling saya gemari, tentu saja penulisan.

KOD DAN SAIZ KEK PERKAHWINAN

Tiada seri meja makan berdamai seandainya tiada kek perkahwinan. Mengapa kek perkahwinan seperti wajib ada menyerikan hari bahagia mempelai. Jawabnya: kek menjadi lambang kemanisan cinta. sepotong kek dikongsi berdua tanda sanggup mengharung susah senang bersama.

Berikut adalah kod dan saiz untuk produk kek perkahwinan hiasan zatidhati:




sekadar contoh, gambar di atas adalah hiasan yang pernah dibuat. Kek perkahwinan dilitupi dengan krim mentega (buttercream) dan dihiasi pula dengan bunga gula (sugar flower).
Kod & Saiz dalam inci:
WCF1 - 10, 8
WCF2- 10, 8, 6
WCF3 - 11, 9, 7
WCF4 - 14, 11, 8
WCF5 - 12, 10, 8, 6
WCF6 - 14, 12, 10, 8, 6
________________________________________________
Di bawah ini pula adalah antara kek perkahwinan yang pernah dilitupi dengan krim mentega atau chocolate ganache dan dihias dengan bunga segar ataupun bunga krim mentega.

Jenis kek: fruit cake/ carrot cake/ chocmoist cake/ butter cake pelbagai perisa/ sponge cake (dengan pure filling strawberry, blueberry, choc, chocmocha, rangichoc, mocha, orange)

Kod & Saiz dalam inci:
WCBC1 - 10, 8
WCBC2 - 10, 8, 6
WCBC3 - 11, 9, 7
WCBC4 - 14, 11, 8
WCBC5 - 12, 10, 8, 6
WCBC6 - 14, 12, 10, 8, 6















________________________________________________________
Di bawah ini pula contoh kek perkahwinan tanpa kaki (stack wedding cake).

Jenis perisa: sama seperti di atas
litupan: buttercream atau fondant
Kod dan Saiz:
SWC 1: 9, 5"
SW2: 10, 6
SW3: 11, 7
SW$: 12, 8


_______________________________________

Ini pula contoh kek perkahwinan dilitupi fondant.

jenis cake untuk fondant: choc moist/ butter/fruit cake/carrot cake
Kod & Saiz dalam inci:
FWC1 - 10, 8
FWC2 - 10, 8, 6
FWC3 - 11, 9, 7
FWC4 - 14, 11, 8
FWC5 - 12, 10, 8, 6
FWC6 - 14, 12, 10, 8, 6
*** Tambahan harga dikenakan sebanyak RM 30 untuk patung pengantin.
*** Harga juga tertakhluk kepada permintaan hiasan.
Ada yang berkenan - untuk memeriahkan hari bahagia anda sendiri atau sebagai sumbangan kepada seseorang yang anda hargai? Dialu-alukan.



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails