7.29.2009

"Kak, saya minta izin tiru design akak sebab..."

jadual kelas - sila klik 'kelas bulan ini' , terletak di atas.
Salam hormat.

Bukan sekali saya menerima sms lebih kurang begini, "Kak, saya minta izin tiru design akak sebab saya tak mahu timbul masalah berbangkit lain kali." ataupun, "Kak, saya selalu rujuk hasil jemari akak untuk deko, saya harap akak tak marah saya tiru design akak."

Saya bertanya, "Kenapa perlu minta izin? Design kek tak ada hakcipta."

"Dah banyak berlaku ungkit mengungkit fasal tiru-tiru design. Akak no hal ke?" (Hem...sms dalam bahasa rojak.)

"Nak tiru ke, nak jadikan rujukan ke, akak tak kisah."

"Ada orang marah-marah, kak kalau tiru dia punya."

Betul ke? Saya fikir, apakah semua yang dikatakan 'peniruan' itu dirancang? Dengan ruang karya yang sangat terbatas, tidak mustahil kebetulan berlaku meskipun ada yang terang-terang meniru (dan bagi saya peniruan itu tidak salah). Kenapa saya katakan kadang-kadang ia adalah sesuatu yang tidak dirancang (bermakna satu kebetulan.) Ambil contoh kisah saya ini- ketika saya menyiapkan satu draf kerja kek cawan, saya mengaplikasikan corak pada cawan kertas kepada kek cawan. Saya tidak rakamkan di blog kerana ia adalah draf kerja saya untuk suatu hal yang saya tangani yang tidak dapat saya kongsi hingga saat ini. Tetapi dua tiga hari selepas saya membuat corak pada cawan kertas itu di atas kek cawan itu, saya terlihat corak yang sama pada blogspot rakan saya. Nah! Itu contoh kebetulan meskipun cara mencari idea tidak sama .

Betul akak tak kisah saya tiru design akak? ada suara yang masih was-was. Ya, memang saya tidak kisah. Saya juga bermula daripada nil, kosong, `zero'. Saya jelajah satu blog ke satu blog, fp ke fp, web ke web. Fp beberapa teman menjadi kegemaran saya. Saya banyak belajar daripada fp/blog mereka. Saya belajar kreatifkan diri berpandukan hasil kerja mereka. Saya tidak pernah rasa bersalah kerana bagi saya , hiasan pada kek tidak ada hakcipta. Ia bukan seperti puisi, novel, cerpen, skrip drama yang berputik dari imaginasi peribadi dan pembongkaran bahan bantu yang berbeza. Besar mana sangatlah saiz kek ataupun kek cawan. Berapa banyak sangatlah noozle untuk kita mencipta design yang amat jauh berbeza dari orang lain. Baik noozle, pencetak, pemotong, balik-balik yang itu juga.

Design saya bukanlah yang terbaik. Masih ramai kawan-kawan kita yang mempunyai design yang menarik. Tetapi saya membebaskan sesiapa pun meniru atau merujuk hasil kerja tangan saya asalkan jangan mengambil gambar-gambar hasil kerja saya dan mengakui sebagai hasil kerja mereka pula. Pada saya, apabila saya telah paparkan blog, pengunjung saya bebas untuk menjadikan hasil kerja saya sebagai rujukan, panduan mahupun meniru design. Ralitnya, hasil seni tangan manusia tidaklah sama meskipun kelihatan serupa.

Kenapa saya terusik untuk menulis tentang tiru design ini? Saya suka kreatif. selalunya yang ringkas sahaja. Tetapi kadang-kadang ada pelanggan yang membawa atau menghantar emel design yang mereka kehendaki. Tentu saja saya akan memenuhi kehendak pelanggan. selalunya saya tidak sempat bertanya, "Design blog sapa ni?' Saya memang tidak akan bertanya sebab bagi saya apapun gambar contoh yang dibawa, ia bukan terlindung bawah akta hakcipta. Saya lebih senang memikirkan tentang wujudnya panduan tidak terancang mahupun terancang melalui kewujudan blog sebagai satu cara untuk mencambahkan blog-blog baru, terutamanya blog-blog agen produk halal. Dengan penumbuhan agen produk halal yang meluas, sedikit demi sedikit pasaran produk yang diragui dapat dikurangkan. Bagaimanapun ini adalah pendapat peribadi saya. Rambut sama hitam namun hati orang bukan dapat dilapah dibaca.


Foto dibawah - saya cuba memenuhi kehendak fuza, student Uniten yang membuat tempahan melalui email dengan mengirimkan gambar contoh bersama. Seperti biasa, saya tidak bertanya daripada blog siapa. Gambar yang diberi adalah baju t hitam yang dibentuk dengan piping star. Fuza meminta saya menukarkannya kepada t-shirt barcelona untuk hafiz tersayangnya. Saya seorang yang kurang gemar pada design star untuk menimbulkan 2D atau 3D. Kebetulan ada lebihan kek, saya potong sedikit menjadi dasar baju. Saya litup dengan fondant berwarna. Permintaan membuat bola kecil tiga empat biji di bahagian tepi tidak saya tunaikan kerana t-shirt fondant itu telah menjangkau sasaran budgect fuza.



lihat...mulanya tanpa logo barcelona.


nah! dah ada logo. mulanya nak buat dengan potong tampal fondant tapi kemudiannya beralih kepada royal aising. apabila royal aising logo ini mengeras, saya tampalkan atas t-shirt.


untuk kek cawan juga, fuza mengirimkan contoh. saya hanya mengambil bentuk hurufnya. bentuk love warna merah jambu, saya marblekan dengan warna putih. untuk fuza, terima kasih kerana memberi ruang saya berkreativiti dengan t-hirt ini.

Fancy cookies di bawah ditempah oleh adrianne untuk harijadi anaknya- J. Agak sulit membuatnys kerana saya tiada acuan berbentuk huruf. Saya guna kaedah template. terima kasih adrianne. nanti order lagi ye...

sekian.



7.28.2009

Syazrah, Norita, Fazilah

Jadual kelas Ogos - sila klik link 'Kelas Bulan ini' yang terletak di atas.


Salam. Yang datang bertemu saya, baik yang bermula daripada tidak tahu, atau sudah tahu sikit-sikit atau memang arif benar tetapi hendak mencari skill/teknik lain - layanan yang saya beri sama sahaja. Mereka pernah mencari rezeki dengan cara lain tetapi berubah arah kepada dunia bakeri. Ada juga yang masih bekerja, mempunyai punca rezeki yang tetap tetapi datang belajar sebagai suka-suka, persediaan masa depan, macam-macam asbabnya.
Apapun yang hendak saya tekankan di sini, sama ada kita berubah arah dari dunia lain kepada dunia kek, ataupun masih mempunyai pendapatan tetap tetapi hendak mencari pendapatan sampingan, itu bukan bermakna kita menafikan punca rezeki datangnya dari Allah. Saya percaya punca rezeki datangnya dari Allah tetapi itu tidak bermakna saya harus goyang kaki saja di rumah atau duduk menunggu royalti yang didiamkan penerbit. Saya percaya hidup perlu ikhtiar, perlu usaha. Anak adalah amanah, adalah rezeki besar tetapi sekiranya anak bersusun tangga dan kita pula hanya diam tanpa usaha, tidak mustahil hidup akan melarat, anak-anak tidak terjana masa depan. Kalau anda ada kebijaksanaan 'public speaking", pandai berhujah, anda masih perlu usaha kerana anda perlukan platform untuk menyebarkan kebijaksanaan anda. Zaman sekarang bukan zaman khayalan lampu aladin - sekali gosok, mintalah apa saja. Percaya kepada segalanya datang daripada Allah adalah wajib kerana dengan itu kita akan jadi manusia yang insaf dan bersyukur. Tetapi ikhtiar, usaha dan redha juga perlu. Kita bukan hanya perlu tahu meminta, tetapi juga perlu iktiar dan usaha. Kemudiannya, jangan lupa bersyukur.
Ada sebabnya saya menulis tentang rezeki dan usaha ini. Saya menulis apabila terusik.

entry di bawah...
Syazrah pernah bekerja, kemudian berhenti setelah ke jinjang pelamin. Mendengar suara Syazrah di gagang telefon, saya meneka dia cute dan masih muda. Tepat jangkaan saya. Kepada Syazrah, saya memohon berbanyak maaf, bukan sekali saya terlupa nama student atau sesiapa yang saya temui. Ketika Syasrah menghantar email, puas saya cuba mengingatkan wajahnya. Inilah Syazrah. walaupun kali pertama beemain fondant tetapi hasil kerjanya tetap tidak mengecewakan.



Ini pula Norita dari Kuala Terengganu. Ditemani anak suntinya, kalau tidak salah ingatan saya - Bella namanya. Norita pernah bertugas di bank, pernah membuka salon, kini cuba beralih ke bidang hiasan kek. Norita boleh dihubungi di talian 017-9396592.




Ini pula Kak Fazilah dari Kemaman, bertugas di Perwaja. Kak Fazilah datang untuk mencari skill dan teknik yang lain kerana sudah tahu mendeko.





sehingga ketemu lagi.

7.23.2009

Temui Kami Di UNITEN Muadzam Shah

MULANYA memang bengang juga apabila kursus yang dirancang akan saya hadiri sabtu dan ahad ini tidak menjadi. Mana tidaknya - kelas telah block, tempahan telah ditolak, bilik hotel telah ditempah, tiba-tiba tidak menjadi pada saat akhir.

Bertafakur sebentar memberi tempoh untuk diri bertenang, saya mengambil hikmah. Minggu lepas, Sara dari UNITEN hubungi saya menawarkan booth sempena Seminat Keusahawan anjuran Uniten dan PUNB. Mungkin ada baiknya saya ke sini. Asalnya, saya hanya hendak meninggalkan saja produk di booth tersebut sementara saya pula hendak memenuhi hasrat diri menimba ilmu. Agaknya Allah mahu saya berada di booth seminar keusahawanan itu.

Pada masa yang sama, hubby sms, ada kursus di sekolah, kursus peningkatan profesion. Mak aii, kursus saja. Rajin benar orang yang mengatur kursus itu hingga tidak memberi ruang langsung berhujung minggu. Minggu lepas, ceramah untuk guru-guru bagaimana hendak meningkatkan kecemerlangan pelajar. Emhh! Saya muak dan jengkel. Hantar guru daripada sekolah asrama penuh beri ceramah kepada guru-guru sekolah biasa yang berhadapan dengan seribu satu macam kerenah murid terutamanya masalah disiplin, kurang kesedaran belajar, ada yang terangkak membaca. Cuba letakkan guru sekolah asrama penuh ke sekolah biasa. Rasanya ada yang lemas mengalah tidak mahu mengajar, minta tukar ke sekolah asrama penuh semula. Tukarkan pula guru sekolah biasa ke sekolah asrama penuh. Percaya cakap saya - keputusan peperiksaan sekolah asrama penuh itu tetap tidak jatuh. Kenapa? Di situ memang pelajar terpilih, yang tersedia cemerlang, punya kesedaran yang tinggi. Lain kali kalau hendak buat ceramah peningkatan macam tu, ambillah guru sekolah biasa yang berjaya menjadikan pelajarnya cemerlang. Guru sekolah asrama penuh belum tentu boleh menjadikan murid sekolah biasa berjaya. Ini soal kesedaran pelajar juga, bukan penat lelah guru semata.

Saya nekad. Tidak kira sama ada hubby berkursus atau tidak, produk saya mesti berada di UNITEN.

Untuk orang-orang sekitar Muadzam dan kawasan berdekatan, temui kami di audotorium Uniten, Sabtu ini. Dapatkan 16 biji cupcakes/box saiz mini s dengan harga promo RM15. Hanya pada kali ini saja tau.

7.17.2009

BAKE & DECO CLASS

Jadual kelas:

1 ogos- figurine cupcake (ada dua kekosongan lagi)

2 ogos- fondant hantaran


8 ogos - intensif cupcake (ada 3 kekosongan lagi)

9 ogos- deco buttercream(cartoon artwork & 3D)-ada dua kekosongan


15 jun - deco buttercream (basketweave & speciality) - ada dua kekosongan

16 jun - sebarang pakej. tempah segera

17 jun - sebarang pakej - tempah segera




Mulai 1 ogos, kelas akan berakhir jam 6 petang. UNTUK SEBARANG PERTANYAAN, SILA EMAIL SAYA - zatidhati@gmail.com atau zatidhati2u@yahoo.com.my . Atau di talian 017=-9427033, 013-9823030. Panggilan telefon saja, tidak melayani sms.TERIMA KASIH.


__________________________________________________________




Salam, sahabat-sahabat.


Foto di bawah - bukan untuk dijual ya... hehehe... ini hanyalah untuk memenuhi permintaan orang-orang tertentu yang meminta saya mmskan gambar Nur Iman. Selalu saja tergendala, jadi saya muatkan saja di sini foto Nur Iman.



Tidak sempat bercerita panjang kali ini. Entry kali ini sedikit gambar kelas yang saya pantau.

Ini adalah rakaman kesenian Habibah dari Kolej Matrikulasi Gambang. Habibah mengambil pakej basketweave dan specility. Di bawah ini juga adalah rakaman kerjatangan Habibah. Saya akur kepada kehendak Habibah tidak mahu gambar solonya dipaparkan.



Lina bersama kek-kek yang dihasilkannya.




Yati JPNP dengan hasil kerjanya...





Tu dia... bergambar sementara memasukkan kek ke dalam kotak. Azzahra turut sama mencelah. Yang kiri sekali itulah Habibah.

7.15.2009

HARGA 12 JAM

JADUAL KELAS:
18 JULAI- Wedding cake, spiecility, basketweave ( deco buttercream)
19 JULAI- CARTOON ARTWORK, 3D (ADA 2 KEKOSONGAN)
25-27 - CUTI

1 OGOS - CUPCAKE FIGURIN (ADA 2 KEKOSONGAN)
2 OGOS- CHOC DECO (ADA 2 KEKOSONGAN)
8 OGOS - INTENSIF CUPCAKE (ADA 2 KEKOSONGAN LAGI)
SEDIA MEMBUAT KELAS PADA LAIN-LAIN TARIKH. SILA BUAT TEMPAHAN PADA TARIKH YANG ANDA KEHENDAKI. JANGAN BERLENGAH.
__________________ _____________________________________________

Salam, sahabat.
Rakaman kerja bermula jam 8 malam hingga ke 10 pagi sebelum berangkat ke kelas Diploma Wedding Cake Skuires Kitchen baru-baru ini. Berhenti hanya untuk makan, solat, menyusukan Nur Iman. Masuk saja perut kereta, saya tidur keletihan. Untungnya saya kerana SF Azzahra, puteri tunggal saya itu memang suka menguruskan Iman. Saya tertidur di depan, Azzahra juga lena mendakap Nur Iman.
Sampai KL, sempat cari stok barang di Bake With Yen, Chow Kit. Qayyum, anak sulung saya menunggu di situ sehabis saja habis kuliahnya. Kemudian kami bertolak ke Kota Damansara. Sesat pula kerana selalunya pergi ke KD menggunakan laluan lain. Kali ini menggunakan laluan lain.
Pagi esoknya, saya terburu-buru mencari peralatan kelas di tingkat bawah ICCA. Orang lain dah mula kelas, saya masih membeli itu ini lagi. Haru betul...
Jom tengok hasil saya untuk masa 12 jam bekerja...



Tempahan dari pelanggan tetap saya, Da Dato' Dollah untuk puterinya. Siap minta ada lipstick, cermin, pembayang mata dan lain-lain 'mak nenek' yang berkaitan dengan dunia perempuan.



Ini juga tempahan Da Dato Dollah untuk puterinya raikan harijadi bersama kawan-kawannya. Da telefon saya. Katanya, "macam dilanggar tsunami jadinya. Budak-budak berkerumun. Excited tengok kek lawa macam tu. Pas tu, yang tinggalnya istana kat belakang tu...macam tsunami melanda aceh. "



Ini tempahan Noriah dari Sungai Buloh untuk hantaran pertunangan anak daranya. Saya buatnya di rumah tapi tak sempat buat bunga. Beli bunga ini di Bake With HYen. Kemudian angkut masuk bilik di Hotel smart. Pemasangan bunga dibuat dalam samar-samar lampu hotel. adduh! Sakit mataku. Jam 11 malam, anak-anaknya datang mengambil kek ini. Saya dah lena tidur ketika itu.



Tempahan daripada Noriah juga, kek buttercream dengan nuansa hijau


Tempahan daripada bekas pelajar hubby dengan wana tema ungu dan hijau lembut
Syukur ya Allah kerana aku dapat melunaskan semua tempahan ini. Meskipun kepenatan tetapi beroleh kepuasan. Terima kasih kepada pelanggan-pelanggan yang memberi kepercayaan kepadaku.
Jumpa lagi

HITAM PUTIH

Jadual kelas Julai:
18 julai - wedding cake (tiers/ buttercream), basketweave, specility
19 julai- caretoon artwork, 3D (masih ada kekosongan)
25-27 - cuti

Jadual kelas ogos:
1 ogos - cupcake figurin (masih ada 2 kekosongan)
2 ogos - choc deco (ada dua kekosongan)
8 ogos- intensif cupcake (ada dua kekosongan)
9 ogos- belum ada tempahan. Anda berminat?
10 ogos- belum ada tempahan. Anda berminat?
Jangan berlengah. Yang tak tahu, akan jadi tahu. Yang tak arif, akan jadi arif. Tunggu apa lagi? Hubungi saya untuk keterangan lanjut di talian 017-9427033, 013-9823030, 09-4222329.
___________________________________________________

Salam sahabat-sahabat.
Tiada celoteh panjang. Hanya perkongsian tatapan. Hasil kerja saya untuk memenuhi tempahan Cikgu Roswati dari SMK Peramu Jaya. Ketika mendapat tempahan ini, saya kehabisan warna hitam. Hubungi kawan sana-sini untuk dapatkannya. Mujur Kamalina ada sebotol, dibawakannya ketika kami menyertai cupcake jalur gemilang. Terimakasih, Kam




7.08.2009

KELAS BISKUT 19 JULAI

KELAS BISKUT DIBUKA PADA 19 JULAI. TEMPAT TERHAD. 15 RESEPI. HUBUNGI SAYA UNTUK KETERANGAN LANJUT.

LAIN-LAIN TARIKH DALAM JULAI BOLEH DITEMPAH KECUALI 25-27 JULAI (CUTI)

1 OGOS- CUPCAKE FIGFURIN (ADA 2 KEKOSONGAN)
2 OGOS- KELAS CHOC DECO
LAIN-LAIN TARIKH DALAM OGOS BOLEH DITEMPAH UNTUK SEBARANG PAKEJ.
SEKIAN. TERIMAKASIH UNTUK SOKONGAN ANDA
__________________________________________________
SALAM.
Banyak rakaman kerja yang terlewat disiarkan di sini. Di bawah adalah sebahagian daripada rakaman kerja untuk sambutan hari ibu. Gambar rich moist choclate tidak saya siarkan semuanya kerana reka bentuknya hampir sama. Kepada yang menempah samaada untuk daerah Pekan dan Kuantan, mahupun yang dipos daripada penempah dalam dan luar negara, saya ucapkan berbanyak terima kasih. semoga niat baik & ikhlas anda untuk menghargai ibu, diberkati Allah swt.
Jamu mata...




Kek cawan dengan perasa choc mania, ditatah dengan sugar flower.



Jambangan mawar dalam warna fushia.


Sekali lagi choc mania dengan gubahan krim mentega.



Rich moist chocolate cake resepi tradebiz saya...
Rich moist choc cake...


Kek cawan dengan perasa kek coklat yang lemak dan enak, dengan gubahan ringkas krim mentega.


Ricg moist choc cake...

Di bawah - Carrot cake. Sukarnya mendeko ros menggunakan creamcheese tanpa bancuhan sebarang lelemak lain untuk membantu konsistensi. Saya gunakan creamcheese sepenuhny. Mudah saja untuk anda mengenali frosting creamcheese dicampur lelemak lain atau tidak. Dengan menggunakan creemcheese sepenuhnya, kita tidak akan mendapat warna yang sempurna apabila diletak pewarna. Kalau warna cantik, itu bermakna ada tambahan shortening atau krimwell.





Jambangan bunga pink fushia...



Rich moist choc cake... anda tak akan menyesal membeli rich moist choc cake saya ini.



7.06.2009

EPISOD CINTA DI TANAH HIJRAH




I wrote my 10th novel- Episod Cinta di Tanah Hijrah with energy, proud & luv! Alhamdulillah. Syukur Ya allah kerana memberi aku stamina, kekuatan meskipun kadang-kadang keletihan dan diburu ketakutan mengupas kekejaman penjajah.
If you want to do something good, do not afraid of facing difficulties, trial and tribulation – kata-kata peninggalan Tun Razak bergema dalam diri sewaktu aku menulis Episod Cinta di Tanah Hijrah ini. Aku sayang agamaku, aku sayang bangsa Malaysiaku, aku sayang ibu pertiwi ini. Aku melawan segala getir untuk menyudahkannya kerana kasih dan sayang ini tepu dalam diri.
Novel ini memenangi Hadiah Sayembara Novel Merdeka ke 50. Tebal 545 mukasurat. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sedikit sedutannya….
“Tuk tak suka dia baik dengan Maisarah. Tuk mau Maisarah lupa dia.” Gaffar merengus. “Dah tak ada orang kita, orang Jepun nak dipungutnya.”
Ikram menarik nafas. Tuk boleh terima Eng tetapi tidak Tanaka. Adilkah untuk Maisarah sedangkan Eng juga bukan Melayu?
“Tuk, maaf klalau Ikram cakap.” Ikram memandang wajah Gaffar. Rambutnya telah nipis benar. Memutih. Dahinya yang suak nampak jelas. “Perasaan suka, sayang, itukan kurniaan Tuhan.”
“Tuk tahu tapi Jepun tu salah letak tempat. Maisarah pula…” Ayat Gaffar tergantung, hanya berbuku di dada.
“Tanaka suka Maisarah, tuk. Maisarah pun sama.” Suara Ikram perlahan, butir perkataannya satu-satu.
Gaffar menghela nafas panjang. Aku tak suka Tanaka bukan kerana Tanaka. Tetapi aku tak suka bangsanya. Aku tak suka titis darah yang mengalir dalam tubuhnya. Aku tak mau darah itu mengalir dalam tubuh cucu cicit aku.
“Ikram tak suka Maisarah?” Gaffar teragak-agak.
Ikram tersentak. Tidak menyangka Gaffar akan bertanya begitu.
“Kenapa pula tak suka? Kan semenjak kecil kami membesar bersama.” Ikram pura-pura tidak mengerti. Dia faham ada maksud yang berlapik dalam pertanyaan Gaffar.
“Kalau Ikram suka, kenapa Ikram tak…”
“Kita jangan bunuh jiwa Tanaka, tuk.” Ikram menyambar, tetap lembut. “Kita jangan rosakkan jiwa Maisarah.”
“Tapi…” Kata-kata Gaffar putus begitu sahaja.
Ikram diam. Hatinya terasa pedih. Ada calar sehiris tetapi dia tidak tahu siapa yang melukainya.
Maisarah tidak bersalah. Tanaka tidak bersalah. Akukah yang bersalah, silap meletakkan cinta?
“Ikram tak suka Maisarah?” Gaffar seperti mendesak.
Ikram tahu Gaffar menaruh harapan padanya. Dia menghela nafas panjang. Harapan itu adalah harapan Tuk, bukan harapan Maisarah. Kalaulah harapan itu milik Maisarah, tentu saja aku akan mengaku, ‘Ya, tuk. Saya nak jadikan Maisarah suri hidup saya.’ Tapi sayang kata-kata itu hanyalah sebaris kalimat yang tidak akan terucap hingga bila-bila. Harapan Maisarah tidak sama dengan harapanku, tidak sama dengan harapan Tuk.
“Kalau Ikram suka…”
“Kalau Tanaka dan Maisarah saling suka, Ikram suka mereka disatukan.” Ikram cuba menegaskan suaranya. “Bila MAisarah bahagia, Ikram turut bahagia.” Suara Ikram jasi semakin perlahan. Ada kecewa meraung di dada. Ikram meneguk liur. “Ikram nak jadi….” Ikram terhenti, mencari kata-kata terbaik.
Apa akan jadi pada Ikram? Apa akan jadi pada Tanaka yang sedar dirinya dibenci Gaffar? Bagaimana Maisarah, tersepit antara cinta terhadap Tanaka dan serba salah terhadap Ikram serta hormat kepada ayah? Bagaimana Masitah mahu menjawab mengapa ayahnya tidak menolak Eng, tetapi menolak lelaki pujaan Maisarah? Ayah yang dibunuh penjajah, kekejaman Jepun, kedegilan British, kehilangan cinta tunang yang trauma kerana diperkosa tentera Jepun adalah antara keperitan zaman penjajahan yang melakar peta perjuangan dan kekerasan jiwa Gaffar. Hidup sebagai pejuang yang memilih berjuang dengan darah memaksa Gaffar bertahun-tahun hidup di hutan, membawa diri hingga ke Thailand. Gaffar pulang ke tanahair, berjuang membangunkan FELDA – satu pelan pembangunan Tun Razak yang membuka pola jaringan penempatan penduduk dan pembangunan Malaysia. Dia bersikap terbuka menerima hakikat Maisarah, seorang graduan yang berkhidmat dengan syarikat antarabangsa dipecat dengan sejumlah pampas an dan pulang ke FELDA untuk bergiat sebagai usahawan agrotek. Dia menerima hakikat Masitah yang sibuk dengan dunia O&G kerana memahami Masitah membantu kelahiran bangsa Malaysia. Tetapi dia tidak dapat bersikap terbuka untuk menerima Tanaka. Mengapa Tanaka menerima tempiasan kebencian Gaffar terjawab dalam fragmen novel yang ditulis Gaffar. Teknik dua novel dalam satu ini bukan saja menggarap cinta dua insan pada dua generasi tetapi juga mengupas cinta terhadap tanah air, kupasan sejarah semenjak penjajahan sehingga kini, pergelutan perbidanan dan sakit puan serta cabaran agrotek.

Dapatkan novel ini di pasaran dengan harga RM35.


_______________________________________

Terimakasih yang tidak ternilai, tiada satu pun menjadi ukuran untuk galakan, semangat dan pengertian yang diberikan suami Mohd Azli Lee Abdullah @ Lee Cheong Beng, anakandaku M.Hafid, M. Amsyar, A.'Alim, Siti Fatimah Azzahra dan A. Taqiuddin, ayahandaku Noor Rahim dan bonda Zawiah, sahabatku Aminah Mokhtar, Dr Kamariah Kamarudin, Nisah Haron, sahabat-sahabat MASTERA 2006, Saifur Rahman, Siti Aishah Murad, guruku Cikgu Tok Chun Poh, ayahanda ali Majod . Terimakasih yang tiada ternilai, tiada satu pun menjadi ukuran untuk bantuan yang dihulurkan oleh pejuang - ayahanda Harith, gemullah Pak Kassim, penterjemah Bahasa jepun - Encik Mohd Izuani & isteri Khirul Bariah Arup, penyiar RTM Rohaida Abdullah, kekanda Nor Kemarau Sepi, Dato' Yaakub Isa atas pinjaman bahan sejarah dan kumpulan falsafah perjuangan Tun Razak, pegawai Felda, penternak-penternak kambing komersial, Dr Hamid Arshad menerusi laman webnya, adinda sepupuku Dr Fad, Ku Razali & isteri.

BAKUL BERTUTUP

(UNTUK JADUAL KELAS, SILA KLIK LINK 'KELAS BULAN INI' DI ATAS)

Salam, sahabat-sahabat.
Bahagianya saya dapat menyudahkan kerja ini. Bakul warna krim polos, dengan penutup warna polos juga. Didandan dengan kuntuman biru lembut dan merah jambu. Sekeping plat ucapan menjadi pelengkapnya. Penutup ini seharusnya lebih kecil sedikit tetapi saya kehabisan penutup kecil. Kata hubby, tak mengapa pakai penutup besar sedikit, bakul kan ada banyak fesyen. saya terpujuk dengan kalimat-kalimat hubby.



7.02.2009

aku, , joannie dan?

JADUAL KELAS. MASIH ADA KEKOSONGAN. DAFTAR SEGERA.

4 Julai - fondant hantaran- ada 2 kekosongan
5 Julai- wedding cake - ada 2 kekosongan
11 JULAI- novelty, cartoon artwork (ada 2 kekosongan)
12 JULAI- basketweave, speciality, choc deco (ada 2 kekosongan)
18 JULAI- novelty, basketweave, speciality, choc deco(ada 2 kekosongan)
19 JULAI- fondant hantaran (ada dua kekosongan)
25-27- KELAS DITUTUP
lain-lain tarikh- anda boleh pilih tarikh dan pakej mengikut kelapangan dan minat anda.
1 OGOS - cupcake figurine ( ada dua kekosongan)
2 OGOS - intensive cupcake (ada dua kekosongan)
Lain-lain tarikh dan pakej, anda boleh pilih berdasarkan kelapangan dan minat anda.Bagi yang bermalam dan memerlukan bilik penginapan, bilik disediakan dengan bayaran RM10.Makan minum disediakan untuk pagi, tengahari dan minum petang.
__________________________________________________________

Salam, sahabat-sahabat.
Saya terlontar ke dunia anak-anak ketika mendeko kek ini. Sepanjang usia kecil saya, saya tidak pernah menyambut harijadi, mahupun menerima hadiah daripada sesiapa. Tidak ada ucapan selamat harijadi cuma mak bonda selalu sebut, "hari ni hari lahir kita. tarikh ni juga tarikh mak ayah kahwin." Itu juga ulang berulang tahun bertahun sehingga saya remaja. Zaman remaja juga tidak pernah saya menyambut ulang tahun cuma adalah seorang dua teruna yang mengingatinya (supaya kita ingat dia? mungkin! hohoho), mengirim kad ucapan, memberi hadiah.
Ketika mendeko kek ini, saya seperti hidup dalam dunia buku kanak-kanak - cinderella, hansel & gretel, snow shite, nobi, banyak lagi. Indah dan manisnya. Sering saya berangan ingin bergaya dengan gaun berenda labuh mengheret tanah seperti di dalam buku-buku yang saya baca tetapi itu semua jauh dari kenyataan kerana pendapatan keluarga hanya bergantung kepada susu dan sekerap getah. Saya setiap hari mengenakan seluar panjang. Emak menyediakan seluar panjang untuk saya supaya boleh dipakai adik-adik lelaki saya pula. Apabila emak mula membuka gerai menjual nasi beringin di bawah naungan pohon sena di tengah bandar Pekan, saya mula pandai memakai skirt. Tahu dari mana saya dapatkan skirt itu? Dari lambakan baju-baju bundle yang dijual setiap sabtu hampir dengan gerai emak. Itu hanya berlangsung dalam dua tahun kerana pada pertengahan usia tigabelas, saya mula memakai tudung. Tahu kenapa saya pakai tudung? Rambut saya perang kerana alah matahari. Kawan-kawan sekolah memanggil saya Joannie apabila saya menyepit tinggi pada rambut kiri kanan. Kata mereka apabila saya berdandan begitu, rupa saya iras salah satu watak dalam drama bersiri Eight Is Enough - Joannie. Kadang-kadang apabila saya mengayuh basikal ke sekolah, atau berjalan ke bilik guru, ke kantin, ada yang menjuah kuat-kuat "Wei Mat Salleh Celup!" Kemudian terdengar derai tawa nakal yang membuat saya sebal. Itu menyebabkan saya bertudung. Seingat saya, saya dan seorang teman berpakat bertudung. Kami menjadi pencetus era bertudung di SMA pada waktu itu. Semua orang melihat janggal tetapi perlahan-lahan 'bertudung' itu menular kepada pelajar-pelajar tingkatan lain. Apakah pilihan bertudung itu menyelesaikan usikan nakal teman-teman. Tidak sebenarnya. Ada gelaran baru - mat salleh celup masuk Islam! Dan gelaran Joannie itu masih kekal sehingga saya meninggalkan sekolah itu. Nostalgia...



Tempahan daripada Lily. Saya menggemari hijau rumputnya. Indah menyenangkan. Taburan gula warna dan ganache yang dioles dengan spatula begitu saja membentuk bongkahan batu besar. 1 kg choc moist dengan dandanan begini - RM75, saiz 8" jika tebal, 9" jika nipis. Terima kasih, Lily.



Choc moist tempahan Cikgu Gayah dari Kuantan dengan ragam sponge bob dan teman-teman. Putaran ombak di sekelilingnya. Harga sama seperti tempahan Lily. Terimakasih, Cikgu Gayah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails