JADUAL KELAS. Ada dua kekosongan untuk setiap tarikh. Tempat adalah terhad. Sebarang pertanyaan untuk penukaran modul dan sebagainya, hubungi talian 017-9427033, 013-9823030. Terimakasih di atas sokongan dan kepercayaan anda.27 okt - 3 D & novelty atau salah satu
28 okt - 3 D fondant princess
29 okt - hand made chocolate
30okt- 2 november - kelas ditutup.
3 nov - pakej bake 4 method cake
4 nov - basketweave & speciality
5 nov - 3D dan cartoon artwork
6 nov - fondant hantaran (pilihan sama ada guna teknik smocking, frill atau drip)
7 nov - 3D fondant princess
8 nov - fancy cookies
9 nov - hand made chocolate
10 nov -chocolate deco
11 nov - fondant hantaran (pilihan sama ada guna teknik smocking, frill atau drip)
12 nov - crash course -3D & cartoon artwork & novelty
13 nov - crash course - basketweave & specility & fancy cookies
14 nov - intensif cupcakes
15 nov - fancy cookies & hand made chocolate___________________________________________________________
"Terima kasih Tuhan, syukur ya Allah," bergema di relung hatiku, membersit sayu berbaur terharu. Banyaknya nikmat yang Allah berikan untuk hidup ini - aku muhasabah diri. Pada saat aku terleka dan terlalai, ampunkan hambaMu ini Ya Allah. Mataku berkaca mengenang anugerah-anugerahNya. Rindu mengajakku menjengah rumah lama fotopages. Banyak pesanan dari anak didik sama ada dari bengkel penulisan, dari ppsb kem plkn muadzam, chini dan rompin juga dari bengkel hiasan kek membuatku bahagia. Ramai yang telah berjaya alhamdulillah.Kesibukan dengan dunia kek membuat aktiviti penulisanku mengendur. Namun ada saja panggilan telefon, sms, email ataupun pesanan di facebook meminta karya. Barangkali sebagai peringatan agar jangan lupakan bakat menulis anugerah Tuhan yang kian terabai kerana asyik bermain dengan aising. Satu darinya, tiba-tiba saja mendapat naskah Sea of Rainbows daripada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Di dalamnya termuat cerpenku yang telah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris - Serenade of the Seventh Princess (judul asalnya Ulek Si Puteri Tujuh - cerpen yang memenangi hadiah Sastera Utusan Melayu Public Bank kategori cerpen remaja). Syukur alhamdulillah.
Kemudian, dapat pula panggilan telefon dari Saadiah, editor Alaf 21. Katanya Alaf 21 bersetuju menerbitkan semula Bila Sena Kembali Berbunga 2. Alhamdulillah. Aku menarik hakcipta novel ini daripada syarikat asal, kononnya hendak cetak sendiri tetapi tak cukup modal. Duhai, akhirnya terpaksa mencari penerbit lain. Terima kasih kepada sahabatku, Isnin Tawaf yang sepi sesepi-sepinya. Isnin adalah orang yang mengasakku mengembangkan cerpenku 'Ketika Sena Gugur Lagi' menjadi novel sehinggalah terhasil Bila Sena Kembali Berbunga dan Bila Sena Kembali Berbunga 2. Terima kasih, Isnin. Aku doakan kau bahagia dan berjaya, insyaAllah.
Setelah beberapa bulan aku menghadkan diri daripada mengikuti kelas kerana komitmen pada pelajar kelas Zati D'hati, akhirnya di bulan ini aku dapat melunas kehendak menambah ilmu. Bulan ini menjadi padat dengan kelas. Aku tahu kehendak ini akan melibatkan hubby dan anak-anak tetapi aku percaya mereka akan sentiasa memahami kerana itulah antara doa yang kubisikkan kepada Allah.Selepas kelas Master Tan See Fong, aku mengikuti kelas sugar flower kelolaan anak muda Chef Shahril. Lama betul aku mengidam kelas Shahril. Semenjak Shahril di luar negara lagi. Apabila dia pulang ke Malaysia, aku harus terus menanti kerana Shahril sibuk urus kehidupannya. Tulus aku akui, aku berpuas hati dengan kelas Shahril. Doh sugar flower yang diciptanya cukup 'power' untuk iklim Malaysia, cepat kering, kekal terbentuk. Selain teori dan praktikal, Shahril juga mengajar membentuk bunga sehingga dapat yang dia puas hati. Berbunga senyumku apabila bunga yang kubawa pulang tidak sedikitpun serpih meskipun kelopaknya nipis. Terimakasih, Shahril. Akak tak sabar nak pergi kelas hujung minggu ni. Di kelas Shahril ini, aku bertemu Mis, orang yang membawaku ke dunia bisnes kek di internet. Berkongsi nasi lemak dengan Mis membuat aku teringat saat tidur sekamar, bangun pagi buat tat, pusing-pusing kedai kek...duhai, banyak yang kami lalui bersama tetapi setelah bisnes menjadi, aku tidak punya kesempatan lagi bertemu Mis. Waktu ke KL hanya cukup untuk keluar masuk bakery mart dan bertemu sulungku, Qayyum. Kata Mis, "aku rindu Nasi Pandan kau."

Gambar di atas - asiatic lily, dendrobium montrose orkid, bauvardia.

(Gambar di atas dari tepi kiri - Ina Saly, Mis, Shahril, Nora Rempeyek)
Habis kelas Shahril dua hari, aku ada rehat 1 hari sebelum mengikuti kelas selanjutnya. Hari rehat itu lunaskan kehendak naluri ke Bangi. Borong kotak dan packaging di Yummy .Teringin sangat hendak ke kedai Sugar Flour. Sempat juga sambar lacy heart cutter set keluaran orchard, textured lace keluaran FMM, edible dusting colour keluaran sugarflair juga green cellboard. Hati terpaut pada stencil tapi kupujuk agar bersabar kerana wang yang ada aku telah peruntukkan untuk beli beberapa tools di icca. Tersenyum lebar aku keluar dari Sugar Flour kerana yang kuhajati terutamanya lacy heart cutter hanya berharga RM 60 dan itu adalah yang terakhir. Pulang dari Bangi, aku memilih untuk berehat saja di rumah adikku Ezly di Damansara Damai. Waktu yang ada aku penuhkan untuk Nur Iman. Esoknya aku ada kelas yang mencabar. Kelas diploma 5 days intensive cakes skuires kitchen.
Selepas mengikuti diploma 3days wedding cake skuires kitchen, aku teringin benar mengikuti diploma 5 days. Ada staff ICCA yang bertanya mengapa aku reverse pula ambil diploma 5 days. Aku sebenarnya tidak tahu mana satu yang dulu. Dulu, aku ambil diploma wedding cakes itu kerana yurannya murah. Agh! aku tidak kisah reverse pun. Pengalaman diploma 3 days itu buat aku tidak tertahan hendak ikuti yang 5 hari pula. Siang malam aku berdoa agar Allah bukakan ruang dan rezeki untuk aku ikuti diploma 5 days sk itu. Maklum sajalah, pendapatan yang ada perlu diagih kepada masa depan anak-anak.
Allah itu benar-benar Maha Segala Maha. Semenjak september 08, aku menolak segala undangan deklamasi puisi kerana komitenku sepenuhnya untuk pelajar-pelajar kelasku. Untuk undangan deklamasi puisi sambutan kemerdekaan peringkat negeri kali ini, aku mulanya tidak begitu mahu menyambutnya kerana H1N1 masih menular. Aku bimbangkan kesihatan anak-anak. Tetapi setelah berbincang dengan hubby, hubby menggalakkan aku supaya menerimanya. Hubby beri beberapa cadangan untuk elak jangkitan H1N1. Aku diminta deklamasi puisi yang tidak kuhadam sepenuhnya. Jadi aku perlu hafal sambil menidurkan Iman, memasak, deko. Kerja menghafal pada bulan Ramadhan sedikit menguji, apalagi untuk berlatih. Kering tekak sering berlaku hingga bimbang suara pula jadi serak. Tetapi aku terus berlatih kerana aku membuat tugasan ini dengan bayaran. Segalanya perlu kupastikan sempurna kalau boleh. Alhamdulillah, inilah bayaran termahal sepanjang penglibatanku di dalam dunia deklamasi. Aku hanya perlu menambah dua tiga ratus saja untuk melengkapkan yuran diploma 5 hari ini. Syukur ya Allah, syukur, syukur....
Inilah sijil diploma yang kuidamkan. Pengalaman diploma 3 days Skuires Kitchen
banyak membantu aku menghadapi diploma kali ini. Aku lebih tenang berbanding menghadapi diploma lalu. Persiapan mental dan fizikal perlu kuat. Kuasak naluri dan akalku dengan bisikan positif. Juga tidak lupa mengambil vitamin B complex, kalsium, vitamin C dan E juga macamax dan segelas susu sebelum bertolak ke kelas. Aku tidak fasih berbahasa Inggeris tetapi aku boleh memahaminya dengan baik. Tapi itu bukanlah sesuatu yang perlu aku jadikan sebagai batu penghalang. Selamba saja aku berbahasa Malaysia. Agh! Peduli apa, aku di bumiku. Bahasaku pernah menerobos ke seluruh pelusuk hingga menjadi bahasa perdagangan antarabangsa dan kini menjadi bahasa yang dipelajari di lebih seratus universiti luar negara. Kekuatan mental dan fizikal juga pengambilan supplement membuat aku tenang dan enjoy meskipun berebutan menghambat waktu untuk menghabiskan modul. Cabaran dan dugaan bagi kami sebagai muslimah, kami tidak boleh terlalu asyik mengerjakan modul sehingga terlalai. Solat itu tetap wajib.

Gambar di atas- kek liputan royal aising. Dedikasi khas untuk hubby kerana banyak waktunya perlu diperuntukkan untuk aku dan anak-anak sepanjang kelas ini berlangsung.

Malu aku tengok lukisan free hand ini. Tak sempat buat di kelas. Aku bawa balik rumah dan lukis setelah terjaga tidur menyusukan Iman jam 2 pagi. Buruknya...huhuhu. Ini adalah penutup sugar box.Ini? Aku menyukainya! Frem daripada pastilage. Bunga popy menggunakan cutter patchwork. Aku gembira sangat dapat menyudahkan frem ini, apalagi dapat menulis 'di mana jantungmu berdegup, di situ cintaku hidup." Ketika bengkel kerja semakin kurang orang, frem ini menjadi tumpuan kerana kalimah-kalimahnya.
Kata Rosalind dalam bahasa Inggerisnya, "wow. Dia tulis puisi di sini. Awak bercakap macam ni kepada suami? Apa suami awak akan kata? Bla...bla...bla...." Dan akhirnya Rosalind menterjemahkan kalimah keramat itu ke dalam bahasa Inggeris. Aku suka Rosalind meskipun komunikasi kami terbatas. Banyak tunjuk ajarnya membantuku meningkatkan kredibiliti. Dengan dua diploma hasil tunjuk ajar Sifu Rosalind, aku yakin kredibilitiku akan bertambah. Terimakasih yang teramat, Rosalind.

Gambar di atas- Kek fondant yang banyak menggunakan royal aising menggunakan noozle halus 1L. Alhamdulillah, aku dapat membuatnya dengan baik. Tidak banyak yang putus. Bunga-bungaan ini aku buat sendiri hasil tunjuk ajar Rosalin.
Ni pun satu lagi hasil kerjaku. Tengok patung tu...hahaha.... Ramai yang b uat pengantin perempuan mengandung hahaha. Tetapi pengantinku mengandung sembilan bulan. Ramai yang mengusik. Aku cepat-cepat menjawab, " you akan jadi doktornya." Ada yang kata, nikah gantung dulu baru bersanding. ada pula yang menyampuk, "zaman sekarang kena test dulu boleh mengandung ke tidak, baru boleh kahwin." Riuh rendah dengan isu pengantin bunting hohoho . Meskipun aku sukakan figurine tetapi aku tidak suka buat patung begini, sebiji macam manusia. Perasaanku bergalau berbagai-bagai. Gelisah aku jadinya. Apa hukum sebenar? Kata Rohaya saat aku luahkan kegelisahanku, "niat untuk belajar untuk habiskan diploma je."

Gambar - dalam asyik buat stringwork, sempat lagi rakam gambar. Di sebelahku, Zarina dari India.
Ini? Buah hatiku Nur Iman, setiap pagi akan menghantarku ke kelas. Sayangggg Iman. terima kasih juga kepada Cece yang 'cuti sekolah' kerana menjaga Iman. Cece selesai UPSR.

Inilah kami - sempat mencipta kemesraan, menghangatkan bilik kerja dengan gurauan sehingga terhibur dan enjoy. Aku kenal dengan dua orang guru kek juga - Rohaya dan Norbaini dari Ampang, Michelle yang menghangatkan suasana, Grace yang diam tetapi memukau kerjanya, Kak Pah yang sama-sama ikuti diploma lalu, Ainie yang kembali ke dunia bakery, Zarina berasal dari malaysia kini menetap di India (lebih 22 tahun membuka salon, 20 tahun membuka bakery di India namun dia masih boleh bertutur Bahasa Malaysia walaupun kadang-kadang rojak), Theresa yang hadiahkan coklat roche, Sherry yang suka bertanyakan peribahasa, Norliza yang kerja hard ware... siapa lagi ye? aha... Nenggamah kerana marukunya sedap. Hahaha
** aku sebenarnya telah mendaftar awal tetapi tidak dapat membuat pengesahan kerana Iman sering demam berulang. Apabila Iman pulih, penyertaan telah ditutup. Terima kasih kepada Adlina yang memanjangkan rayuanku kepada Rosalind sehingga dapat aku menyertai diploma ini. Terima kasih Tuhan...